Panduan: Amalkan Prinsip 5 Us untuk hidup kekal bahagia selamanya. | www.sobriyaacob.com

Saturday, November 5, 2011

Panduan: Amalkan Prinsip 5 Us untuk hidup kekal bahagia selamanya.


Prinsip 5 Us
1) Hidup mesti Lurus
  • Buat apa pun biarlah berlandaskan kebenaran. Jika hidup berlandaskan syariat, tahu mana halal, mana haram, buat apa yang disuruh Allah, tinggalkan apa yang dilarang, memang kita sudah berada di landasan yang betul. Berkatalah benar sekalipun pahit.
2) Hati mesti Tulus
  • Ikhlas itu umpama kita melihat semut hitam, di atas batu hitam di waktu malam yang kelam. Ikhlas adalah suatu yang subjektif untuk dinilai namun kita boleh melatih hati kita untuk cuba menyumbang bakti tanpa mengharap apa jua balasan. Bila kita buat sesuatu perkara atau pekerjaan dengan hati yang tulus, insyaAllah, kerja yang dilakukan bukanlah beban kepada kita. Dalam hidup ini jangan terlalu memikirkan apa yang kita akan dapat, tapi fikirlah apa yang kita boleh berikan kepada saudara kita. The more you give the more you get. Ini konsep rezeki. Tidak akan jatuh bankrap seseorang hamba Allah itu dengan hanya menderma seringgit dua (ikut kemampuan) kepada yang memerlukan.
3) Ibadah mesti Bagus
  • Hidup mesti ada pegangan. Bagi yang muslim, dalam menjalani kehidupan seharian, dua perkara yang perlu dijaga iaitu hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Allah. Jaga amal ibadah kita jika mahu hidup kita diberkati Yang Maha Esa.  Tingkatkan amalan dan pada masa yang sama jangan cari musuh. InsyaAllah, bahagialah hidup kita di dunia ini.
4) Ikhtiar mesti Serius
  • Walau apa pun yang kita buat,  kita mesti buat dengan bersungguh-sungguh. InsyaAllah, pasti membuahkan hasil. Kata orang dulu-dulu 'alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Buatlah apa pun, kalau kita komited dengan kerja yang dilakukan, pasti menjadi. Percayalah!.
5) Taubat terus-menerus
  • Sebagai hamba Allah yang lemah, kita kurang sedar bahawa saban hari ada sahaja kesalahan atau dosa yang dilakukan oleh kita sama ada dosa kecil atau besar. Maka seharusnya kita sentiasa bertaubat kepada Allah tanpa jemu memohon keampunan terhadap setiap perbuatan yang telah dilakukan tanpa sedar atau di dalam sedar. Rasionalnya ialah jika kita mati sekali pun, kita telah bertaubat dan hati kita sentiasa suci daripada noda. Hamba yang sentiasa memohon keampunan daripada Allah adalah hamba Allah yang sangat merendah diri dan sentiasa berasa takut untuk melakukan sesuatu perbuatan yang dimurkai lagi tidak diredhai Allah.

Jika prinsip ini yang diamalkan dalam kehidupan setiap insan, insyaAllah, kita boleh memperoleh dan menikmati kehidupan yang sejahtera dan bahagia.

Wallahu'alam.

Sumber: Tazkirah pada suatu petang usai solat Jumaat oleh Uztaz Aaa Gym, Pendakwah Indonesia. 
kredit: Minda Hana

5 comments:

Komen Anda Amat Dihargai
Terima Kasih Kerana sudi membaca