Panduan Cergas : Cara Yang Betul Menurunkan Berat Badan | sobriyaacob.com

Monday, October 28, 2013

Panduan Cergas : Cara Yang Betul Menurunkan Berat Badan


Masalah berat badan berlebihan kini menjadi isu yang semakin serius dalam masyarakat kita. Ramai yang mengambil pendekatan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. 
Tanpa kita sedari, ada yang membuat kesilapan dalam usaha menurunkan berat badan, antaranya menurunkan berat badan hanya dengan bersenam. Senaman amat penting untuk menurunkan berat badan, tetapi dengan hanya bergantung kepada senaman semata-mata tanpa mengawal pemakanan adalah satu usaha yang sia-sia. Kajian mendapati seseorang hanya bersenam tanpa mengawal jumlah makanan dan kalori makanan akan menyebabkan berat badan amat susah diturunkan, malah berat badan akan bertambah.

"Jadikanlah matlamat untuk mendapat kesihatan yang baik sebagai sebab utama menurunkan berat badan kerana kesihatan yang baik akan terpancar sebagai kecantikan sebenarnya"

Ini kerana ramai orang mengira kalori yang dibakar apabila bersenam dan menyangka bahawa dengan kalori yang sudah dibakar maka tidak perlu lagi mengawal jumlah makanan yang diambil. Jika anda ingin menurunkan berat badan secara maksimum, maka jumlah pemakanan seharian masih perlu dikawal jumlahnya walaupun anda bersenam.

Selain itu, makan produk yang rendah lemak. Kita selalu memilih makanan atau produk yang dilabel sebagai rendah lemak dan berasakan produk ini baik untuk kesihatan dan boleh membantu menurunkan berat badan. Hakikatnya produk ini sebenarnya mempunyai nilai kalori tinggi kerana kandungan gula yang tinggi. Pengeluar produk ini mengurangkan lemak dalam produk mereka, tetapi akan menambah kandungan gula untuk membuatkan produk ini lebih sedap. Kajian sains mendapati lemak mono tak tepu (kekacang, avocado, minyak zaitun) dan lemak omega 3 daripada ikan amat baik untuk menurunkan berat badan.


1) Minum minuman diet

Kajian mendapati pengambilan minuman diet akan menyebabkan masalah berat badan dan kencing manis walaupun kalorinya lebih rendah. Satu kajian di Texas Health Science Center di San Antonio, Amerika Syarikat mendapati seseorang yang mengambil minuman diet akan menghadapi sehingga 70 peratus peningkatan saiz pinggang daripada seseorang yang mengambil minuman biasa. Dalam kajian sebelumnya juga mendapati, risiko obesiti bertambah sehingga 41 peratus untuk penggemar minuman diet ini. Menurut pakar pemakanan, fenomena ini berlaku kerana pemanis tiruan yang rendah kalori dalam minuman diet ini akan meningkatkan selera makan dan menghalang otak mendapat isyarat kenyang apabila perut penuh. Minum air mineral lebih baik untuk menurunkan berat badan.


2) Obses dengan nombor

Terlalu kerap menimbang berat badan. Seseorang yang ingin menurunkan berat badan kadangkala terlalu obses dengan nombor pada alat penimbang. Ini sebenarnya boleh menjadi suatu penghalang kepada seseorang yang ingin menurunkan berat badan.

Berat badan bukanlah kayu ukur kepada kesihatan anda. Berat badan yang ditimbang dengan alat penimbang tidak membezakan berat otot, air, lemak dan makanan dalam perut anda. Jika anda terlalu kerap menimbang berat badan, anda akan menjadi lebih cepat kecewa jika mendapati berat badan anda tidak turun atau turun dengan jumlah yang amat sedikit atau lebih buruk lagi berat badan anda bertambah pula.

Terlalu yakin dengan kemampuan diri. Terlalu yakin dengan kemampuan diri untuk berdiet dan mengikut seratus peratus pemakanan sihat sepanjang masa. Sikap seperti ini akan menyebabkan anda menjadi cepat kecewa bila terlanjur makan makanan tidak sihat. Sebagai manusia biasa akan ada masanya kita gagal melawan nafsu makan dan termakan makanan tidak sihat, janganlah kecewa. Peruntukan 20 peratus dalam jumlah makanan anda untuk sesekali termakan makanan kurang sihat dan pastikan dalam 80 peratus corak pemakanan anda adalah pemakanan sihat. Bersikap sederhana seperti ini akan memastikan berat badan sihat kekal lebih lama dan lebih praktikal dalam kehidupan seharian.


3) Terlalu berpantang

Walaupun terlebih makan adalah antara punca berat badan berlebihan, tetapi janganlah anda makan terlalu sedikit dan berpantang keterlaluan sehingga anda menjadi terlalu kurus dan mendapat masalah kekurangan zat makanan. Jika anda berlapar terlalu kerap, maka badan anda akan berubah kepada suasana kebuluran. Metabolisma badan akan turun dan segala anda makan walaupun sedikit akan disimpan sebagai lemak dan otot menjadi kecut. Apabila anda tidak mampu meneruskan diet melampau seperti ini, anda akan mula makan tanpa kawalan kerana selera bertambah dan semuanya akan menjadi lemak. Berat badan anda akan bertambah dengan sangat cepat dan menjadi lebih gemuk daripada sebelumnya. Akhirnya, anda berdiet semula dan kitaran ini akan berterusan, sekali gus anda akan gagal menurunkan berat badan.

Terlalu cepat berputus asa. Jika anda gagal untuk kali pertama dalam percubaan menurunkan berat badan janganlah terlalu cepat mengalah. Kajian mendapati seseorang hanya mencuba untuk menurunkan berat badan akan mendapat faedah kesihatan walaupun gagal menurunkan sedikitpun berat badannya.


Oleh Dr Norman Mohd Norawi
Penulis ialah Pengamal Perubatan Am,
Pengkhususan Aestetik, Antipenuaan dan Perubatan Regeneratif


4 comments:

  1. G0od info!!
    dont b so obses with number!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. ur wc.. setuju jgn terlalu obses dngn number..yg penting mcm mana cara kita turunkan berat badan :)

      Delete

Komen Anda Amat Dihargai
Terima Kasih Kerana sudi membaca